Sahabat :)

Tuesday, August 23, 2011

Suami ku Nak Kahwin Lagi (POLIGAMI)




"Abang, minta izin untuk nikah sorang lagi," 

Aliyah yang sedang melipat kain, terdiam seketika. Mungkin terkedu. 
Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak. 

Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga 
dipasang. Tapi, ahh bukanlah. TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, 

mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk? Dia menghela nafas panjang. 
Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum. 

Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju 
ke 
dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan. 

Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, 
mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa 
puterinya 

kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini, anak-anak kian 
beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang 
berdua, si kembar, Solehin dan Farihin. 

Pengabisannya dia kembali kepada suaminya. Asraf Mukmin hanya diam, 
membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga 
hampir 16tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang 
bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina, 
gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di 
jabatannya 
benar-benar membuatkan dia lemah. 

"Kau mampu Asraf, dengan gaji kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan  2  keluarga," sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah  apabila dia berdepan dengan Aliyah. "Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis  sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis  perlukan  seseorang yang mampu memimpin Qis," masih terngiang-ngiang bicara lunak  Qis.  Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi,  selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak-anak. 

Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar 
menjerat hatinya. 

"Abang, Aliyah setuju dengan permintaan Abg. Tapi, Aliyah nak berjumpa 
dengan wanita tu," Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya. Dia 
tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah terlalu sempurna, 
baik 
tetapi ahh 
hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih muda. 

"Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, 
boleh?" pelik benar permintaan isterinya. Hendak dipengapakan apakah 
buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju. 
Sebab, 
dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan. 

Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah 
isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. 
Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang 
ni, isteri-isteri lebih bijak. Teringat dia kisah seorang tentera yang 
disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah 
cawangan lagi satu. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah 
sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya 
senyuman daripada Aliyah. 

"Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri Abg," terjegil bulat mata Qis 
yang berwarna hijau. "Kak Aliyah yang minta," masih lembut dia memujuk 
Qis. 

"Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis?" "Takutlah Qis, silap 
haribulan dia bunuh Qis!" terkejut Asraf Mukmin. 

"Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. Abg dah lama hidup 
dengannya. Abg faham," 

Qistina mengalih pandangannya. Mahu apakah bakal madunya berjumpa 
dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama 
membuli isteri kedua. Heh, ini Qistina lah. Jangan haraplah jika nak 
membuli aku. Desis hati kecil Qistina. 

Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu. Seminggu jugalah dia 
merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya. 

Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana 
Qistina 
pergi. 
Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga 
oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid 
Putra. Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia 
tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di masjid Putra. 

Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama 
dengan 
Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian 
menghadiri majlis kuliah agama. Membaca AlQuran secara bertaranum itu 
adalah kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman 
Qistina memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi 
dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra, 
dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak 
Imam 
Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air 
matanya. 

Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu. 
Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya 
layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon 
madu Aliyah. 

Tit tit... sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya. "Qis minta 
maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abg jadikan isteri. Qis 
tidak sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya utk 
bersama Abg," Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar. 

************ ********* ********* ********* ********* ********* 

Kepada: 

Asraf Mukmin, 

Suami yang tersayang... 

Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna cokelat yang hampir 
saiz dengan A4 itu dibuka perlahan. 

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani, 

Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa 
mengiringi jejak langkahmu. 

Abg yang dikasihi, 

Genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina. Terima 
kasih kerana Abg membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu 
cantik.Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah. 

1. Dengan ukuran badan ala-ala model, dia memang mengalahkan Aliyah 
yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju-bajunya memang mengikut 
peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan Abg. Aliyah tak sanggup Abg 
diheret ke 
neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa Abg sendiri pun, masih 
belum termampu untuk dijawab di akhirat sana, apatah lagi Abg nak 
menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan Abg... 

2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah 
lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan Abg. Aliyah tahu selera Abg 
hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau 
selera 
Abg sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga 
singgah di sebuah restoran western food, Abg muntahkan semua makanan 
western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah 
mereka. Kesian nanti, tak makan la pula anak-anak kita. Aliyah 
sayangkan Abg... 

3. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. 
Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada 
zuriat Abg yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar 
anak-anak 
Abg nanti untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia 
sendiri pun kelam kabut memakai telekung... Aliyah sayangkan Abg... 

Abg yang disayangi, 

Cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah 
tak terdaya. Abg lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, Abg 
mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan Abg 
mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya. 

Abg yang dicintai, 

Di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah 
tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak.Jika 
munajat Abg di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abg ini, ambillah 
borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, lupa nak cakap, 
Qistina telah berada di sawarak. Menunggu Abg...Aliyah sayangkan Abg... 
Tetapi jika 
Abg merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri 
Abg, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah, Aliyah sayangkan  Abg. 

Tetapi, jika Abg merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk 
Abg..tolonglah bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran 
Abg, roti canai..air tangan Aliyah. 

Salam sayang, 

Aliyah Najihah binti Mohd Hazery 

Tangannya pantas membuka pintu biliknya. Di situ berdiri Aliyah Najihah 
bersama-sama hidangan sarapan pagi kegemarannya. Dia tersenyum! 

Benar, tiada isteri sehebat Aliyah isterinya!!! !! 

************ ********* ********* ********* ********* ***

:: Jodoh Allah Yang Beri ::




        Harini sudah 5 bulan 2 minggu dan 4 hari bergelar seorang isteri. Terlalu cepat masa berlalu, terasa masih terkejut apabila dilamar oleh suami rupanya sudah hampir separuh tahun ini menjadi isteri beliau. Ramai yang bertanya sama ada sahabat-sahabat di alam nyata mahupun teman-teman di alam siber yang hairan bagaimana ana boleh menerima seseorang sebagai suami di usia yang masih muda. Ana hanya tersenyum. Kalau sudah jodoh, segalanya Allah permudahkan.


Masih terasa seperti semalam ana terduduk saat mendapat berita lamaran dari suami. Trauma. Tidak mampu untuk berkongsi sekadar ingin mengingatkan diri bahawa setiap yang Allah aturkan adalah terbaik buat hamba-hamba Nya. Allah mengatur kehidupan ini dengan sangat indah dan Allah mengurniakan akal untuk berfikir baik dan buruk sesuatu perkara, namun tidak semua menggunakan akal dengan baik bahkan ramai para ilmuan (read - genius) mempunyai masalah mental.


Manusia tidak mampu terus berfikir dan berfikir, akal itu perlu dipandu dengan iman. Iman itu adalah keyakinan, yakin kepada Allah yang memiliki segala-galanya apa yang ada di bumi, langit dan di dasar lautan. Masih terlalu kecil perumpamaan ini, tetapi Dialah yang memiliki segala-galanya. Taqwa itu bagaimana kita berhati-hati dengan penipuan di dunia ini. Hati ini lemah, jasad ini kerdil dan jiwa ini kerapuhan namun Allah sentiasa memujuk dengan cara dan kehendak Nya.




"Ya Allah, sekiranya ada jodoh buatku di dunia ini maka Engkau bukakanlah hati hamba Mu untukku..."


Tanpa perancangan manusia, Dia aturkan kehidupan ini mengikut perkiraan Nya. Bukan atas kehendak hamba yang sentiasa lemah pengetahuan tentang rahsia-rahsia Nya. Benar, Dia gerakkan hati hamba Nya untuk hamba Nya. Dia memiliki hati manusia, Dia juga yang menggerakkan hati manusia bahkan Dia juga yang membolak balikkan hati manusia. Ya Allah, janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau berikan hidayah...


Pertunangan secara syariat, hanya persetujuan dari ana untuk menjadi isterinya maka termeterai ikatan pertunangan antara kami. Tanpa pertemuan dan 'ayat-ayat cinta' bahkan tanpa lirikan manja dan mencuri pandangan, Dia mentakdirkan bahawa kami akan menempuh kehidupan bersama. Arus dan gelombang di alam pertunangan menduga hati dan perasaan, meski hancur luluh jiwa ini menyembam bumi sekalipun digagahkan juga jasad untuk berdiri. Air mata yang menjadi teman setia, kesihatan yang merudum lantaran tekanan perasaan yang dihadapi ditelan sendirian.


Biarlah, ini yang Allah mahukan supaya hamba ini segera menjahit kembali baju-baju yang tercarik meski luka di jari masih berlumuran dengan darah. Allah mahu segera bangkit dari kelemasan perasaan supaya hamba yang lemah ini belajar menjadi tabah dan tenang dalam gelora di dalam kehidupan rumahtangga kelak.

"Cuti sekolah nanti ada di rumah?"

"Insya Allah, ada."



Tanpa banyak berbasa-basi, dia segera menalifon abi dan berbincang. Cuti sekolah nanti, keluarganya mahu melihat ana. Ya, pertemuan pertama. Sebelumnya, hanya sekeping gambar wajah ana yang diberikan kepada keluarganya. Hanya raut wajah tanpa badan diberikan. Tanpa di duga, keluarga lelaki membawa beberapa dulang hantaran. Ummi tersandar di tiang luar rumah melihat mereka dengan dulang hantaran.


Kami menyambut sekeluarga tanpa pihak ketiga. Abi sendiri yang menjadi 'jurucakap' bagi pihak perempuan. Kelakar. Adat diketepikan bukan tidak menjunjung adat tetapi memudahkan apa yang perlu diutamakan dan mengutamakan syariat dalam urusan ini akhirnya memudahkan segala-galanya. Secara rasminya, majlis pertunangan kami di rumah ana...


Tidak seperti mereka yang mahu bertunang, berdandan rapi di kamar dan menanti saat untuk disarungkan cincin pada jari. Ana dari pagi memasak di dapur, dan sibuk dengan periuk dan kuali :P Tiba-tiba akhun datang ke dapur memanggil ana untuk 'menunjukkan diri' pada keluarga lelaki, tiba-tiba panik kerana muka yang sangat 'comel' akibat memasak dari pagi dan bersiap untuk menjamu makanan pihak lelaki diminta ke ruang tamu.


Mujurlah pakaian tidak kekampungan dengan kain batik dan t-shirt seperti biasa. Jubah dan tudung berwarna ungu, perasan comel dan agak-agak ayu bersalaman dengan keluarga lelaki yang datang dari jauh. Tak tahu mana satu bakal ibu mertua, selepas mereka semua pulang baru ana tanya pada ummi mana satu bakal ibu mertua. Yang paling kelakar, pihak ana tidak membalas apa-apa kepada pihak lelaki. Mana tahu mereka datang dengan dulang-dulang bagai :)


2 bulan kemudian, hari pernikahan.

"Mana satu bakal suami?" Sepupu yang menjadi pengiring ana bertanya.

"Entah lah..." Jawapan paling bagus yang dapat diberikan. Sepupu-sepupu memaksa ana menanggal cermin mata semasa majlis akad nikah, kononnya nampak cantik akhirnya ana tak nampak sesiapa, semuanya kabur :D


Pertama kali bersalaman dengan dia, lelaki yang selama ini digeruni kerana garang dan tegas akhirnya duduk di hadapan sambil tersenyum. Masih tertahan pandangan mata ini, tidak pernah bertentang mata dengan dia. Gerak geri juga kaku, maafkanlah atas sikap kebudak-budakan isterimu ini.


Saat pertama kali memanggilnya
 "Abang", jantung terhenti seketika. Saat pertama kali keluar berdua-duaanya dengannya, pelik sungguh rasanya.


Di usia 20 tahun, Allah mentakdirkan diri ini menjadi isteri kepada seorang lelaki. Allah memilih dia saat diri terhumban ke dalam kegelisahan yang tidak mampu untuk diucapkan. Allah menarik tangan ini ke arah lelaki itu untuk memimpin gerak langkah ini supaya tidak jatuh sekali lagi. Alhamdulillah, segala puji-pujian buatmu ya Allah.


Di saat manusia lain bimbang dan khuatir apakah diri ini akan disunting lelaki, Dia menggerakkan hati seseorang supaya mengambil ana dengan cara syari'e tanpa ada percintaan mahupun garapan perasaan yang bukan-bukan apatah lagi rindu yang menghukum jiwa. Dia mempercepatkan perjalanan marhalah perkahwinan ini kerana Dia sedang memujuk hamba Nya dengan cara dan kehendak Nya, usir segala kedukaan yang menapak di jiwa dan Dia menggantikan dengan senyuman.

"Insyirah kahwin atas pilihan keluarga atau pilihan sendiri?"

"Kahwin atas pilihan Allah."



Ummi dan abi tidak pernah memaksa ana untuk menerima zauj, mereka juga bebas memberi ana ruang membuat keputusan sendiri.

"Macammana Abang boleh taqdim?"

"Allah yang suruh."


Allah memilih dia untuk ana, Allah menyuruh dia untuk melamar ana. Allah yang SURUH. Kerana Allah yang menyuruh jugalah, kami berusaha beriringan tangan untuk menempuh gelora-gelora yang datang menjengah di teratak kehidupan kami tanpa berprasangka kepada sesiapa. Terkadang, lelah dengan tanggungjawab sebagai isteri kerana bimbang tidak mampu memuaskan hati suami. Terkadang, dihimpit perasaan bersalah apabila tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

"Kalau sakit, jangan paksa diri."


Segera menoleh pandangan ke sisi lain membuang perasaan jauh-jauh dari suami. Saat ana terlantar dan tidak mampu menguruskan diri sendiri, si suami masih menggagahkan semangat untuk terus bersabar dengan kerenah ana.


Perkahwinan itu penyatuan tanggungjawab dua insan, setiap pihak mestilah memainkan peranan masing-masing agar hak pasangan akan dipenuhi. Kelemahan perasaan wanita haruslah dididik supaya tidak menjadi satu tembok yang akan menyusahkan suami dalam memenuhi tanggungjawabnya. Rajuk atas perkara-perkara remeh mestilah digantikan dengan penilaian perasaan yang lebih waras.


Di saat suami tidak memahami isteri, segeralah beristighfar.
"Ya Allah, ampunkanlah aku. Bukan suamiku yang tidak memahami perasaan aku tetapi aku yang belum mengenali suamiku."

Di saat isteri tidak memahami suami, segeralah beristighfar.
"Ya Allah, ampunkanlah isteriku. Bukan isteriku tidak memahami perasaan aku tetapi aku yang belum berkenalan dengan isteriku."


Seorang isteri, apabila mempunyai dosa dengan suami... Berat tanggungannya. Di saat suami menyimpan duka terhadap perangai isteri, tidak mustahil isteri AKAN disusahkan oleh Allah dalam kerja seharian. Di saat suami marah pada isteri, tidak mustahil isteri AKAN ditimpakan kecelakaan pada hari tersebut.


Menjadi isteri harus memahami kepentingan dan keutamaan kehidupan. Perlu berkorban perasaan apabila kehendak diri ditangguhkan demi ibubapa suami kerana keutamaan seorang isteri adalah pada suami sedangkan seorang lelaki meski sudah bercucu cicit sekalipun tanggungjawab terhadap ibubapanya tidak lucut. Itu yang sering wanita lupa, seharusnya seorang isteri mengingatkan suami supaya melebihkan ibubapa suami (mertua isteri) berbanding isterinya (kita) sendiri tetapi dewasa ini para wanita menyibukkan fikiran suami dengan kehendak diri sendiri supaya suami melupakan ibubapanya. Nauzubillah.

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki,) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah ar-Ruum ayat 21)


Berkahwin muda itu seronok kerana Dia telah menutup banyak pintu-pintu fitnah. Berkahwin muda itu indah kerana dibebaskan dari keadaan yang akan menjerumuskan remaja ke alam dilema percintaan. Berkahwin muda itu tenang kerana di dalam perkahwinan itu ada sakinah, mawaddah wa rahmah. Berkahwin muda itu bahagia kerana ada teman yang akan berkongsi segala suka dan duka.


Andai perkahwinan itu dibina hanya untuk kepentingan diri sendiri, kita tidak akan menghiraukan tanggungjawab kerana sentiasa memikirkan hak yang suami perlu penuhi tanpa kita memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan mengabaikan hak suami.


Kematangan bukan pada landasan usia tetapi kepada corak pemikiran, bagaimana kita mengurus perasaan dalam menghadapi kehidupan. Buat sahabat-sahabat yang bakal bernikah pada hujung tahun ini, selamat mendirikan rumahtangga. Barakallahu lakuma wa baraka 'alaykuma wa jamaa bainakuma fi khayr.


Jadikanlah pasangan sebagai sebuah anugerah dalam kehidupan dan manfaatkanlah peluang tersebut dengan sebaik-baiknya. Di saat gelora bertandang, kenangkanlah saat-saat yang indah sewaktu lafaz nikah dituturkan suami. Nikmatilah perasaan yang indah saat bergelar seorang isteri kerana perkahwinan itu satu anugerah dari Tuhan buat hamba-hamba Nya.





"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia Nya, kerana Allah amat luas (rahmat dan limpah kurnia Nya), lagi amat mengetahui." (Surah An-Nuur ayat 32)

Monday, August 22, 2011

:: Malam Lailatul Qadar ::



“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”
(Quran, Al-Qadr 97: 1-5)



Menjadi rebutan diwaktu 10 malam terakhir Ramadan ialah lailatul qadar ataupun didalam bahasa ialah malam takdir. Ramai yang menyebut malam lailatul qadar tapi nak diperbetulkan disini lail itu dalam bahasa arab membawa maksud malam jadi memadai dengan menyebut lailatul qadar. Sekejap je kan dah nak masuk fasa akhir Ramadan dan ini memberi petanda bahawa kita akan meninggalkan bulan Ramadan tidak lama lagi. Pantas masa berlalu. Melihat terjemahan Surah Al Qadr jelas menyatakan turunnya Al Quran petunjuk umat Islam di waktu lailatul qadar yang mana malam itu lebih baik daripada 1000 bulan.



Lebih baik daripada 1000 bulan? Kenapa ya Lailatul Qadar itu diberikan?
Rasulullah sayang akan umatnya. Lailatul qadar diberikan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W atas sebab kita ini tidak punya masa yang panjang seperti umat terdahulu untuk beribadah sebenarnya. Mesti ramai yang tahu umat Islam terdahulu hidup beratus-ratus tahun berbanding dengan kita sekarang tetapi istimewanya kita diberikan satu malam yang penuh rahmat. 2 imam besar ada menghuraikan dengan ringkas mengapa terjadinya Lailatul Qadar.


Imam Malik,
“ Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka “
Imam Al-Qurtubi,
Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w. “
Lihat balik hujah imam besar tersebut jelas menunjukkan kasihnya Rasulullah kepada umatnya dan begitu besar rahmat Allah S.W.T kepada kita dengan pemberian Lailatul Qadar. Bila kita reflek balik,kasihnya kita kepada Nabi Muhammad S.A.W bagaimana pula?
Manusia itu seorang yang lupa. Tidak pernah lari daripada melakukan dosa dan yelah bila seronok akan sesuatu ditambah dengan nafsu mana mungkin kita tak lalai dengan keseronokan. Pada waktu inilah di malam qadar perlu dicari dan dipenuhi dengan ibadah-ibadah khusus dan umum untuk membersihkan diri. Kekuatan pun perlu ada kan,kalau tak iya-iya tak menjadi juga nak lakukan ibadah dengan kesungguhan. Doa itu penghubung antara makhluk dan penciptanya secara terus demi mengharap keampunan-Nya. Moga doa itu dimakbulkan pada waktu Lailatul Qadar dan diri diberikan hidayah dan petunjuk yang lebih luas lagi. Hidup oh hidup, kadangkala kita buntu seketika dengan apa yang kita lalui dalam kehidupan ni.


Bila Berlakunya Lailatul Qadar dan Kenapa Ia Menjadi Rahsia????

Dari apa yang aku tahu tidak ada waktu yang khusus bila akan berlakunya Lailatul Qadar setiap tahun kerana waktunya berbeza-beza. Waktu sekolah dulu pun bila bercerita tentang Lailatul Qadar cikgu hanya menyatakan ia berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Ya,itu kenyataan umum yang semua orang sedia maklum waktu lailatul qadar. Salah satu dalil kukuh mengenai 10 malam terakhir ialah hadis dari Aisyah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari,
“Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan.”
Menurut Imam Nawawi pula giliran malam Lailatul Qadar berubah setiap tahun bermaksud kalau tahun ini jatuh pada malam 29 Ramadan tahun depan berbeza waktunya. Ibn Hazm pula berpendapat Lailatul Qadar jatuh sama ada pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan. Satu lagi pendapat ulama menyatakan Lailatul Qadar ialah pada malam ke 27 Ramadan berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka’ab diriwayatkan oleh Tarmizi, hadis dari Mu’awiyah yang diriwayatkan oleh Abu Dawud,”Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27.”
Apa yang pasti malam takdir ini berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan dan ia dirahsiakan kerana keikhlasan kita. Jika kita tahu bila secara tepatnya waktu Lailatul Qadar ini pasti ada yang akan hanya beribadah pada malam tersebut sahaja dan tidak dimalam-malam lainnya. Keikhlasan dalam mencari rahmat itu penting supaya tidak hanya untuk kepentingan diri sahaja. Kadangkala masyarakat tersilap tafsir dengan menanti tanda-tanda pelik waktu Lailatul Qadar barulah mula hendak berdoa. Apa pun setiap malam di bulan Ramadan ada rahsia dah barakahnya tersendiri. Kiranya setiap malam itu amat bermakna. :)
hadith malam takdir

Jadi kalau mana yang tengah membuat pesiapan raya elok habiskan segera dan menghargai kedatangan Lailatul Qadar ini sebaiknya. Tahun ini sempat kita berpuasa, tahun depan belum tentu berjumpa lagi dengan Ramadan berikutnya. Umur sampai bila pun kita tak tahu. Sama-samalah perbanyakkan ibadah, memohon keampunan dan berdoa agar diberi kekuatan dalam hidup yang setiap hari penuh mencabar ini. Aku pun harap diri sendiri tak lupa,bila tulis entri mengajak ke arah kebaikan harapnya yang menulis ini pun turut cuba melakukan kebaikan tersebut. Sedikit perkongsian ringkas harap bermanfaat... ^_^

SUMBER RUJUKAN : 
artikel laman web ILuvIslam.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...