Sahabat :)

Wednesday, February 15, 2012

Nikmat Subuh ^^.

 Assalamualaikum semua. Moga sihat ceria sentiasa.
Kecergasan fizikal memang penting untuk membolehkan kita  menjalankan tugas seharian dengan berkesan. Namun, sebagai orang Islam, Cikgu yakin, di samping kualiti ini, kita juga memerlukan satu lagi  kualiti penting, iaitu kecergasan spiritual atau kerohanian. Kita perlukan cahaya hati yang akan terpancar ke akal  untuk meningkatkan kualiti tindak laku/kerja kita.  Ada kalanya, cikgu melihat wajah-wajah tidak ceria para pelajar pada awal pagi. Suram, muram ,semua dibuat serba tak kena.  Kurang terurus, seolah-olah  kehilangan sesuatu. Ada yang kurang bermaya. Lewat ke sekolah ,kerja tak siap. Teruk lagi, menguap-nguap dan pandangan mata ditutup tirai ngantuk secara berselang-seli. Nada tinggi suara guru seolah-olah menjadi deringan jam loceng yang membangunkan diri.  Kenapa Ya? Apa yang hilang atau dihilangkan.  Apabila difikirkan, apabila diselidik, ada yang jujur membuat pengakuan. Rupanya Solat Subuh yang dihilangkan daripada catatan atur cara harian.  Rugi! Rugi! memang rugi! Memang anak-anak cikgu rugi. Sesiapa sahaja akan rugi termasuk diri sendiri.

                Sesungguhnya , Allah Subhanahuwataala maha pemurah dengan  anugerah-Nya yang tak terkata. Maka , janganlah lalai mengejar anugerah-Nya pada awal pagi sebelum fajar menyingsing menerangi bumi. Kedudukan Solat Subuh amat tinggi nilainya. Lantas ia mempunyai banyak daya tarikan untuk kita mengerjakannya berdasarkan hadis Rasulallah S.AW. Baginda sedar, waktu subuh ialah yang paling sulit dan sukar untuk umatnya bangun pada awal pagi. Pujukan syaitan dan keenakan nikmat tidur seing mencengkam sehingga lena dipanjangkan sampai matahari mencucuk mati. Terlepaslah kita. Subuh dah balik jauh meninggalkan kita.
                Kasih sayang baginda pada umatnya terserlah  menerusi doa baginda,
 “Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya).”
(Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)
   Manakala Hadis riwayat Imam at-Termizi: “Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”  membuktikan betapa besarnya ganjaran Solat Subuh .
                Waktu Subuh ialah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT. Kerana Allah SWT berfirman,  maksudnya:

                 “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)
                Solat Subuh  ialah sumber daripada segala cahaya  di hari kiamat apabila  semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya .Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan akan melihat Allah SWT  di syurga.
                Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, “Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
                Malah, Rasulullah SAW  berjanji bahawa apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh.
                 Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.”
(Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah).
     marilah kita mulakan hari kita dengan mendirikan Solat Subuh. Moga cahaya keberkatan menerangi kita sepanjang hari, moga segala pekerjaan membuahkan hasil yang disasarkan, membawa kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.   Moga kita menjadi penerima janji Rasulullah dan pemenang anugerah Allah SWT. Amin.  

















Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...